George Town, 13 Nov - Lagak seperti pelancong tetapi melencong, bukan itu saja songsang pula. Itu aktiviti dua lelaki warga Vietnam yang masuk ke negeri ini secara sah, namun mencari makan dengan menjalankan aktiviti urut untuk kaum sejenis dengan mengenakan caj RM150 untuk urutan selama sejam.
Perbuatan mereka itu terbongkar apabila sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang menyerbu hotel di Jalan Transfer, Georgetown, malam tadi.
Dalam serbuan 11 malam itu, anggota penguatkuasa yang menyerbu sebuah bilik di hotel berkenaan mendapati dua lelaki warga Vietnam terbabit sedang mengurut seorang lelaki tempatan dalam keadaan bogel.
Pengarah Imigresen Negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, hasil pemeriksaan lanjut dua lelaki Vietnam berusia 29 dan 31 tahun itu mengaku mereka menjalankan aktiviti seks songsang dengan mengenakan bayaran kepada pelanggan.
“Kedua-dua mereka mengaku mengenakan bayaran RM150 untuk sejam dan mereka didapati masuk menggunakan pas lawatan sosial sah yang tamat tempoh akhir bulan ini.
“Kita dapati mereka sudah lima hari menetap di hotel ini serta mencari pelanggan dengan menggunakan media sosial,” katanya.
Muhamad Husni berkata, pihaknya juga turut merampas wang tunai berjumlah RM1,200 yang dipercayai hasil daripada khidmat urut dan aktiviti seks yang dilakukan dua lelaki Vietnam terbabit.
“Selain itu, kita turut merampas ubat perangsang dan juga kondom yang digunakan mereka ketika melakukan aktiviti songsang berkenaan.
“Kedua-dua lelaki Vietnam itu kini ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki melanggar peruntukan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.
No comments